UDA Holdings teruskan pengecualian, subsidi sewaan premis perniagaan

UDA Holdings teruskan pengecualian, subsidi sewaan premis perniagaan

JALALUDDIN Alias (depan, tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan peralatan sukan sepak takraw selepas menyempurnakan program Singgah Santai Bersama Anak Muda, Pertandingan Sepak Takraw Kampung Kampai/Kuala Pah dekat Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan hari ini. - FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: UDA Holdings Berhad (UDA) akan terus menyediakan insentif pengecualian sewaan premis miliknya kepada penyewa dalam kalangan peniaga kecil bumiputera sekiranya penularan pandemik Covid-19 berterusan.

Pengerusi UDA, Datuk Jalaluddin Alias berkata, insentif pengecualian sewa yang sepatutnya tamat pada bulan ini akan diberikan sama ada secara penuh ataupun secara subsidi mengikut peratusan.

“Kalau pandemik Covid-19 ini tidak berhenti dalam jangka masa terdekat, UDA akan meneruskan peranan untuk membantu peniaga-peniaga bumiputera terutama di kawasan bandar yang menyewa premis UDA untuk dibantu daripada segi subsidi sama ada pengecualian secara total ataupun subsidi, bergantung kepada keadaan.

“Sebelum ini UDA memberi sehingga Disember ini, bergantung kepada keadaan dan suasana semasa  pandemik Covid-19, saya jangka subsidi total ataupun peratusan ini akan kami lihat kembali bermula Januari tahun hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Singgah Santai Bersama Anak Muda, Pertandingan Sepak Takraw Kampung Kampai/Kuala Pah dekat Kuala Klawang, di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Jalaluddin, sempena sambutan ulang tahun ke-50 UDA pada tahun hadapan, UDA akan memulakan semula pembinaan premis-premis perniagaan di kawasan bandar dan pinggir bandar khususnya untuk membantu golongan pertengahan dan generasi muda untuk berniaga.

“Sebagai permulaan kawasan seluas 1.2 hektar di Kuala Lumpur sudah dikenal pasti bagi memastikan golongan berkenaan memulakan perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk ‘e-sport’ dengan ia boleh dilaksanakan dengan kos paling minimum.

“Sempena sambutan itu juga, UDA akan terus mengambil pendekatan dalam membantu masyarakat luar bandar terutama golongan miskin iaitu menerusi program pembaikan atau membina rumah-rumah golongan tersebut yang telah dikenal pasti dan pilih,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pembinaan premis UDA Niaga bagi usahawan baharu pinggir bandar juga akan mula dibina di Kuala Klawang.

Ia membabitkan pembinaan enam unit premis perniagaan dua tingkat dan kerja-kerja awal pembinaan akan dimulakan Januari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN