Tiada parti cukup majoriti bentuk kerajaan - Utusan Malaysia

Tiada parti cukup majoriti bentuk kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada parti yang mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu secara bersendirian.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti DAP dengan 16 kerusi, Amanah (5), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (5), PKR (3), Pas (3), Gerakan (1) dan Bebas (1).

Katanya, bagi membentuk kerajaan negeri, satu gabungan diperlukan agar kerajaan yang terbentuk mempunyai kedudukan yang kukuh dan stabil untuk menerajui negeri Perak.

MOHAMMMAD NIZAR JAMALUDDIN

“Setakat ini hanya gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat seiringan iaitu kami mempunyai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang mana memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, beliau tidak pasti kedudukan gabungan Pakatan Nasional mahupun Muafakat Nasional (MN) di Perak kerana UMNO dan BN jelas menolak Bersatu dan Pas.

Malah katanya, Bersatu dan Pas juga tidak menyokong UMNO dan BN dalam pengundian belah bahagi semalam.

“Bagi Amanah Perak, kita akan merujuk kepada Presiden dan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Nasional berkaitan isu ini.

“Bagaimanapun, keutamaan kami adalah kesejahteraan rakyat yang terkesan dalam suasana pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Amanah Perak dan rakan-rakan dalam PH Perak menjunjung kasih sebarang keputusan yang bakal diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Saya berkeyakinan dengan kebijaksanaan dan perkenan baginda akan dapat menyelesaikan kemelut ini.

“Diharap juga kerajaan yang baharu dibentuk nanti dapat membantu meringankan penderitaan rakyat negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 seperti pengangguran, masalah ekonomi dan kesihatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya