Tiada kerajaan UMNO-PH tanpa DAP - Utusan Malaysia

Tiada kerajaan UMNO-PH tanpa DAP

ASMUNI AWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di Perak tidak akan terbentuk jika DAP diketepikan.

Bagi PH, DAP perlu dibawa sekali dalam kerajaan baharu jika UMNO bersedia untuk bekerjasama bagi memastikan kerajaan yang terbentuk adalah kerajaan yang stabil.

Perkara ini ditegaskan oleh Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berhubung kerjasama dengan UMNO di Perak.

Menurut Asmuni, kerjasama dengan UMNO mesti atas nama gabungan PH dan bukannya UMNO dengan PKR dan Amanah sahaja.

Menurutnya, formula gabungan UMNO, PKR dan Amanah pernah dilontarkan kepada PH namun ditolak awal-awal lagi.

“Maknanya kalau ada mana-mana parti dalam komponen PH yang dikeluarkan daripada kerjasama yang dicadangkan, maka kita tidak akan menyertainya,” ujar beliau.

Dengan UMNO 25 kerusi, Amanah lima dan PKR tiga kerusi, ia bukanlah kerajaan yang stabil. Jumlah majoritinya terlalu tipis yang dianggap kerajaan yang rapuh.

“Ketika itu, kalau ada satu pihak merajuk maka kerajaan itu tidak kekal lama dan akan runtuh balik.

“Jadi apa pandangan rakyat pada masa itu? Kita nak elakkan pandangan dan persepsi negatif rakyat kepada ahli politik,” kata Asmuni.

Menurutnya, Amanah dan lain-lain parti dalam PH sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk satu kerajaan yang baharu.

Kata beliau, kerajaan yang dibentuk harusnya kuat, stabil dan bertahan setidak-tidaknya sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kita tidak mahu sebuah kerajaan yang majoritinya cuma cukup-cukup sahaja, tipis,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH termasuk DAP bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Ini berikutan Pas dan Bersatu enggan memberi sokongan kepada pembentukan kerajaan baharu dengan UMNO selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal meraih sokongan majoriti dalam undi percaya terhadap beliau sebagai Menteri Besar pada sidang DUN Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN