Segera buat saringan pekerja asing - Amirudin - Utusan Malaysia

Segera buat saringan pekerja asing – Amirudin

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah diarahkan untuk membuat penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera seperti yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti empat hingga lima lokaliti bagi menempatkan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah yang akan menempatkan pesakit-pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala (asymptomatic).

“Perkara ini dilaksanakan bagi mengurangkan bebanan dan kepadatan hospital Covid-19 yang sedia ada.

“Setakat ini, kita ingin memaklumkan bahawa keadaan masih terkawal di Selangor walaupun jumlah kes Covid-19 yang tinggi kerana kes terbaharu tersebut didapati di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan kita percaya bahawa pelaksanaannya akan mengurangkan risiko perebakan wabak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan program isolasi terhadap 247 pekerja asing yang bekerja di bahagian kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19. 

Menurut Amirudin, sebanyak empat syarikat telah mengambil bahagian dalam siri pertama program tersebut dan melibatkan 231 pekerja (lelaki) dan 16 (wanita) dari Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan.

“Perkara ini telah diputuskan dalam satu sidang khas Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor kali ke-14 baru-baru ini. Program Isolasi ini telah bermula pada 26 November lalu untuk tempoh 14 hari, iaitu mengambil kira (tempoh inkubasi) sehingga 9 Disember depan. 

“Program ini adalah inisiatif kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam membantu membendung penularan wabak dalam kalangan pekerja-pekerja di lapangan terbang terutamanya warga asing. Kesemua pekerja tersebut ditempatkan di Hotel Tune Aeropolis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya