RUU Majlis Bandaraya Seremban diluluskan - Utusan Malaysia

RUU Majlis Bandaraya Seremban diluluskan

AMINUDDIN Harun ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) 2020 semasa Persidangan DUN Negeri Sembilan hari ini yang kemudiannya diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) 2020 bagi mengubah taraf dan menukar nama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang dicantumkan sebagai satu pihak berkuasa tempatan (PBT) diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Ia setelah mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli dewan selepas usulnya dicadangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang kemudiannya diluluskan Yang Dipertua DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Ketika membentangkannya, Aminuddin berkata, RUU tersebut amat penting yang merupakan satu instrumen penubuhan sebuah pihak berkuasa tempatan di negeri ini.

Tambahnya, terdapat keperluan daripada sudut perundangan untuk menggubal satu Enakmen Majlis Bandaraya Seremban bagi mengadakan satu peruntukan dan pemberian taraf bandar raya serta perkara-perkara lain yang berbangkit daripada perubahan taraf dan nama itu.

“RUU ini dipecahkan kepada lima fasal iaitu yang pertama, menetapkan nama enakmen ini sebagai Enakmen Majlis Bandaraya Seremban 2020 dan berkuat kuasa pada 1 Januari lepas. 

“Fasal kedua pula adalah untuk mengadakan peruntukan berhubung pemberian taraf bandar raya dan penukaran nama daripada Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai yang dicantumkan sebagai Majlis Bandaraya Seremban sebagai satu pertubuhan perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya pada Sidang DUN Negeri Sembilan hari ini.

Menurut Aminuddin, fasal ketiga pula mengandungi peruntukan pengecualian seperti pembatalan kuasa-kuasa yang Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai.

“Fasal empat pula bertujuan untuk mengadakan peruntukan berhubung sebutan dalam undang-undang bertulis mengenai Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai yang hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan Majlis Bandaraya Seremban selepas menjadi bandar raya.

“Fasal terakhir, adalah peruntukan mengenai perkara dan keputusan yang dilakukan sebagai persediaan ke arah pelaksanaan enakmen ini hendaklah dianggap sah dan telah dibuat oleh Majlis Bandaraya Seremban,” katanya.

Tambahnya, penggubalan RUU tersebut adalah penting bagi memastikan penubuhan Majlis Bandaraya Seremban adalah sah dan memenuhi keperluan perundangan.

Terdahulu, Aminuddin berkata, penarafan bandar raya itu susulan MBS telah memenuhi kriteria yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta percantuman kedua-dua PBT itu bertepatan dengan Seksyen 4(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Percantuman itu juga dapat memperkemas pentadbiran Seremban apabila hanya satu PBT yang mentadbirnya selain memastikan MBS mempunyai hasil dan pendapatan lebih tinggi untuk kesejahteraan warganya,” katanya.

Pada 20 Januari lepas, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan merasmikan Wisma Majlis Bandaraya Seremban yang terletak di Forest Heights dekat Jalan Seremban-Tampin dekat sini.

Persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kelak. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya