SHAH ALAM: Projek pengepaman air mentah Sungai Selangor daripada kolam takungan Projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 dalam fasa terakhir iaitu penilaian tender sebelum dijangka memulakan proses pada tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek yang akan membantu mengatasi masalah gangguan bekalan air itu mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan kerana memerlukan gerak kerja yang banyak.
“Projek tersebut kini dalam fasa akhir penilaian tender sebelum dapat dilaksanakan kepada syarikat yang bakal melaksanakannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di sini hari ini.
Gangguan bekalan air yang berlaku di Selangor dianggap sebagai acara bulanan apabila setiap bulan pengguna terpaksa berhadapan masalah tersebut berikutan pencemaran air yang berlaku di Sungai Selangor sehingga mengakibatkan LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas. – UTUSAN ONLINE










