PH Johor teliti jika ada usul percaya MB - Utusan Malaysia

PH Johor teliti jika ada usul percaya MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Pakatan Harapan (PH) Johor akan meneliti sebarang usul atau langkah dikemukakan oleh mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

Majlis Pengerusi PH Johor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan Utusan Malaysia berhubung pandangan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang membayangkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bakal mengalami nasib seperti rakan sejawatnya dari Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Osman dilaporkan berkata, ia berlaku sekiranya 12 wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ‘balas dendam’ melalui usul undi percaya kepada Hasni.

“Esok adalah hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Sebarang langkah atau usul yang ingin dibangkitkan oleh ADUN Bersatu akan disaksikan pada esok.

“PH Johor memiliki 27 ADUN. Jumlah ini signifikan dalam setiap usul yang ingin dikemukakan di Dewan Negeri Johor. Kami berpendirian sebarang usul atau langkah yang bakal dibawa oleh ADUN Bersatu esok akan diteliti oleh PH Johor dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kestabilan negeri,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Semalam, Osman membayangkan Hasni berkemungkinan bakal senasib seperti Ahmad Faizal sekiranya 12 ADUN Bersatu Johor ‘balas dendam’ mengusulkan undi percaya kepada pemimpin berkenaan.

Menurut bekas Menteri Besar itu, nasib dialami Ahmad Faizal itu telah mengguris perasaan pemimpin dan akar umbi Bersatu di seluruh negara kerana usul percaya tersebut gagal mendapat sokongan majoriti ADUN Perak termasuk wakil rakyat UMNO sendiri.

Kedudukan Hasni sebagai Menteri Besar daripada UMNO sama ada tergugat atau sebaliknya akan ditentukan menerusi pengundian Belanjawan Johor 2021 yang bakal berlangsung dalam Sidang DUN Johor esok.

DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya