Petronas sedia giat melabur dalam teknologi tenaga baharu - Utusan Malaysia

Petronas sedia giat melabur dalam teknologi tenaga baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersedia meningkatkan pelaburan dalam sektor tenaga baharu menerusi pelbagai usaha yang giat dilaksanakan secara berterusan.

Ia sejajar dengan iltizam syarikat minyak kebangsaan itu bagi menyokong peralihan tenaga global dan mencapai sasaran ke arah Pelepasan Bersih Karbon Sifar menjelang tahun 2050.

Demikian tegas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam ucaptama sesi pembukaan Forum Tenaga Antarabangsa (IEF).

“Kami menyokong transisi itu sebagai sebahagian pendekatan holistik dalam kelestarian yang menyeimbangkan rangkaian nilai urus tadbir korporat, sosial dan alam sekitar,” katanya.

Persidangan dwitahunan kali ketujuh itu diadakan secara maya ekoran isu Covid-19 dan dianjurkan Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) dengan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.

Forum berprestij itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Ia juga dihadiri secara atas talian oleh Presiden IGU, Prof. Joe Kang yang beribu pejabat di Barcelona, Sepanyol dan lebih 160 negara anggota kesatuan sejagat ditubuhkan sejak 1931.

Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas meneruskan kesinambungan ke arah pengurangan pelepasan gas rumah hijau daripada segala aset syarikat berkenaan.

“Ini dilakukan melalui penambahbaikan berterusan dalam kecemerlangan operasi dan giat memajukan pelbagai teknologi bersifat inovatif yang cenderung mesra alam,” jelas beliau.

Bahkan ujarnya, Petronas akan menyambung ke arah pelaburan baharu bagi melonjak perolehan menerusi penyelesaian berasaskan bahan semula jadi dan tenaga lebih bersih.

Sebagai pemain utama tenaga bersepadu, syarikat yang diasaskan sejak 1974 itu turut optimis dalam memenuhi keperluan dunia kepada sumber alam lebih bersih seperti gas asli.

“Juga peralihan kepada punca boleh diperbaharui yang dijangka menyeimbangkan dilema isu antara kemampuan ekonomi, keselamatan dan kelestarian,” kata Tengku Muhammad Taufik.

Beliau menambah, industri gas asli tempatan amat penting dan signifikan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia dan diunjur menyumbang hampir RM400 bilion dalam dekad akan datang.

Selain itu, ia menyediakan lebih 80,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi lebih luas dan ia selari agenda Petronas ke arah menyokong misi rendah karbon serta peralihan tenaga.

“Selaku pemain gas asli cecair dalam jangka panjang, Petronas sedia melabur dalam potensi laluan masa depan generasi akan datang yang lebih mengutamakan rendah karbon,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik memberi contoh banyak projek dilakukan mereka sedang menuju ke arah itu sebagai pusat sehenti tenaga bersih boleh diperbaharui dikenali sebagai M+.

Petronas ujarnya berbangga memiliki kapasiti solar 50 MWP dalam aneka industri termasuk pasar raya Tesco dan terkini Universiti Teknologi Petronas dengan sasaran 7MWP awal 2021.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya