KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menaikkan gaji pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengumumkan perkara itu di Dewan Negara, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, permohonan itu telah selesai dihantar pada 17 September 2019.
Beliau berkata, namun begitu, kerajaan terlebih dahulu perlu melaksanakan kajian kenaikan gaji yang lebih menyeluruh meliputi semua skim perkhidmatan dengan mengambil kira keharmonian dalam perkhidmatan awam.
“Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa menambah baik pemberian elaun kepada pegawai dan anggota PDRM.
“Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah seperti kenaikan kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada PDRM yang melibatkan peningkatan berjumlah RM20.00 hingga RM145.00 sebulan berdasarkan gred pegawai dan anggota PDRM.
“Kerajaan juga telah meluluskan pembayaran Bayaran Insentif Mengikut Lokasi Tahap Kesusahan (BIMLTK) berjumlah RM500.00 hingga RM1,500.00 sebulan berdasarkan kategori pedalaman kepada pegawai dan anggota PDRM yang bertugas di kawasan pedalaman,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Kamarudin Abdun berkenaan kenaikan gaji anggota dan pegawai PDRM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.
Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri menyatakan perlu mengkaji secara menyeluruh cadangan PDRM yang mahu kerajaan menaikkan gaji anggota polis berpangkat rendah.
Menterinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa perkara perlu diteliti lebih mendalam terhadap cadangan berkenaan kerana ia turut menyentuh struktur tangga gaji ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, aspek utama yang turut perlu diberi perhatian ialah soal kemampuan kerajaan untuk menampung perbelanjaan tambahan jika cadangan itu dilaksanakan berikutan berdepan masalah kewangan. – UTUSAN