Penjenayah langgar kereta peronda polis ditahan - Utusan Malaysia

Penjenayah langgar kereta peronda polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah curi dengan memecah cermin kereta mangsanya ditahan polis selepas dikejar sejauh lapan kilometer di Kampung Berapit, Tikam Batu di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan polis bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah/Op Covid pada pukul 10 malam.

“Sebaik sahaja Bilik Gerakan Daerah (DCC) Kuala Muda membuat hebahan berkaitan satu kejadian pecah cermin kereta di Hotel Park Avenue di Taman Sejati, sebuah kereta peronda Balai Polis Tikam Batu digerakkan ke lokasi.

“Ketika dalam perjalanan, anggota kita terserempak dengan suspek yang memandu Perodua Viva di Jalan Alor Setar-Butterworth sebelum bertindak mengejarnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Adzli, suspek kemudian memecut kereta dengan menghala ke Tikam Batu dan semasa dikejar suspek bertindak ganas menghimpit dan melanggar kereta peronda polis hingga mengalami kemek dan calar di sebelah kiri.

“Kereta lelaki itu terbabas selepas dipintas di Kampung Berapit dan suspek kemudiannya bertindak melarikan diri ke dalam hutan berdekatan di kampung itu. Kita kemudiannya berjaya menahan suspek dan pemeriksaan di dalam keretanya menemukan satu unit pemotong besi dan satu unit tukul besi,” katanya.

Menurut Adzli, semakan rekod mendapati, suspek dikehendaki atas tiga kesalahan memecah cermin kereta dan melarikan pelbagai barangan berharga di hotel yang sama sebelum ini dan satu rekod kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Suspek kini dalam perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya