fbpx

Peniaga letak tanda harga mengelirukan

NORAZAH Jaapar (kiri) bersama Azizan Sulaiman (tengah) meninjau harga barangan sempena Program Kesedaran Pengguna dan Tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Tahun 2020 di Pasar Raya C-Mart, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI

ARAU : Segelintir peniaga di negeri ini didapati meletakkan tanda harga barangan yang mengelirukan bagi mengambil kesempatan terhadap pengguna sekali gus mengaut untung lebih.

Peniaga terbabit khususnya di kedai-kedai runcit mempamerkan harga yang berbeza pada tanda harga berkenaan, namun, apabila pengguna melakukan pembayaran terpaksa membayar dengan harga lebih mahal.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norazah Jaapar berkata, antara alasan yang diberikan oleh peniaga yang meletakkan tanda harga yang mengelirukan itu adalah tidak cukup pekerja, terlepas pandang dan tidak sempat mengemas kini harga di rak barangan dengan harga dalam sistem jualan.

Katanya, sebanyak 48 aduan berkaitan pelbagai kesalahan harga sejak awal tahun sehingga hari ini dengan aduan tertinggi yang diterima melibatkan harga mahal iaitu sebanyak 40 aduan.

Katanya, tanda harga mengelirukan sebanyak enam aduan dan masing-masing satu aduan bagi tiada tanda harga dan tidak diberikan resit pembelian.

“Aduan seperti ini kita terima dekat kedai runcit dan jarang menerima aduan berhubung hal ini untuk pasar raya besar. Kebanyakan pasar raya besar akan mengikut standard iaitu kalau harga yang dipamerkan dengan yang diimbas semasa tidak sama, harga yang mana lebih rendah akan diguna pakai.

“Pemeriksaan dari semasa ke semasa dilakukan dilakukan selain memberi peringatan tegas kepada peniaga yang melakukan kesalahan ini. Kes seperti ini disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011,” katanya kepada pemberita selepas Program Kesedaran Pengguna dan Tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Tahun 2020 di Pasaraya C-Mart, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatan kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Azizan Sulaiman berkata, keperluan bekalan barangan terkawal adalah mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

“Cuma, kalau daripada segi barangan import dan sebagainya, harga mungkin naik sedikit tetapi daripada segi bekalan setakat ini memang tiada masalah,” ujarnya.

Mengulas mengenai syarikat disyaki terbabit dengan kartel daging dengan label halal yang palsu, beliau menegaskan negeri ini tidak mengambil bekalan daripada mana-mana syarikat yang terlibat dengan skandal tersebut.

“Kelima-lima pemborong utama daging sejuk beku di Perlis, tidak terlibat serta mengambil bekalan daripada mana-mana rangkaian kartel terbabit,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN