Pembangkang hanya ada 38 majoriti - Utusan Malaysia

Pembangkang hanya ada 38 majoriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Undian secara belah bahagian hanya berlaku sekali sahaja ketika sidang Dewan Rakyat semalam iaitu melibatkan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan.

Walau bagaimanapun, blok pembangkang yang mengusulkan perkara itu ketinggalan jauh di belakang apabila ia mendapat sokongan 110 ahli Parlimen berbanding yang tidak menyokong hanya tujuh.

Lebih menarik, 31 ahli Parlimen pembangkang pula bertindak keluar dewan sebelum pengundian berlangsung berikutan tidak puas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan tiga ahli Parlimen yang masih menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) masuk untuk mengundi.

Kekecohan itu berlaku selepas Azhar dilihat enggan melayan permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) agar diberikan penjelasan berhubung kebenaran itu.

Sebelum memulakan sesi perbahasan, Azhar sudah pun menjelaskan bahawa tiga ahli Parlimen itu hadir dengan menaiki ambulans.

Mereka ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, dan P. Prabakaran (PH-Batu).

Beliau berkata, kesemua mereka diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan ditempatkan dalam satu bilik khas ketika persidangan berlangsung.

Katanya lagi, dua menteri dan seorang ahli Parlimen pembangkang itu hanya dibenarkan masuk ke dalam dewan ketika sesi pengundian belah bahagian sahaja.

“Saya tak ubah SOP (prosedur operasi standard). Saya cuma ikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Yang ketiga-tiga itu bukan keputusan saya. Mereka perlu meminta kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan dan kalau dibenarkan, maka mereka perlu mengikut SOP yang ditetapkan oleh beliau. Bukan ditetapkan oleh saya,” katanya.

Jika dicampur yang keluar dewan dan tidak menyokong, pembangkang hanya berkekuatan 38 sahaja selepas 72 ahli Parlimen lagi dimaklumkan tidak hadir.

Apa yang berlaku semalam cukup jelas untuk menjawab kedudukan khabar angin terbaharu melibatkan Ketua Pembangkang yang didakwa telah memperoleh 113 sokongan majoriti.

Dalam pada itu, RUU Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri pula diluluskan secara suara majoriti tanpa tentangan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN