‘Nak sarapan dengan atok, nak pergi jauh’ - Utusan Malaysia

‘Nak sarapan dengan atok, nak pergi jauh’

JENAZAH tiga beradik dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Luluh hati seorang datuk tatkala mengenangkan antara bait-bait perbualan akhir ketika bersarapan bersama salah seorang daripada tiga cucunya yang terkorban dalam nahas jalan raya di Ipoh, Perak, petang semalam.

Mohamad Ahad, 67, datuk kepada Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7 dan dua adiknya, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy yang berusia setahun tidak dapat menahan sebak ketika mendapat perkhabaran itu.

MOHAMAD AHAD

“Ketika sedang minum pagi pada kelmarin (Selasa) dia datang kepada saya bertanya saya tengah makan apa, saya cakap nasi lemak sebelum dia kata nak makan bersama.

“Saya mahu minum dengan atok, saya nak jalan jauh…jalan jauh tok. Itu perbualan saya dengan Muhammad Lutfi Hakim sehari sebelum mereka terbabit kemalangan maut di Perak,” katanya ketika ditemui selepas selesai upacara pengebumian di sini, malam ini.

Menurut Mohamad, ketiga-tiga cucunya itu disifatkan sebagai anak yang bijak serta mempunyai keletah tersendiri yang sentiasa mencuit hati.

“Kami tahu mengenai kejadian apabila bapa mereka menerima panggilan telefon daripada pihak hospital memaklumkan anak-anaknya terlibat kemalangan dan berada di unit rawatan rapi (ICU).

“Bagaimanapun, ketika menonton berita tidak lama kemudian, kami terkejut apabila mendapat tahu kesemua tiga beradik itu sudah tiada,” katanya.

Jelasnya, ini pertama kali menantunya, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, membawa ketiga-tiga anaknya bersama-sama selepas kira-kira dua bulan bekerja di Pulau Pinang.

Ujar Mohamad, malam tadi dia juga turut bermimpi didatangi ketiga-tiga cucunya itu.

“Saya bermimpi bertemu ketiga-tiga cucu saya, mereka datang kepada saya, senyum, peluk saya dan akhirnya melambai kepada saya sebelum saya tersedar,” katanya.

Mohamad berkata, mimpi yang dialaminya itu adalah paling sedih baginya selepas cucu-cucu kesayangannya itu pergi mengadap Ilahi.

“Saya amat terasa kehilangan mereka, lebih-lebih lagi Muhammad Lufti Hakim yang tinggal bersama saya selama kira-kira dua bulan sebelum diambil semula oleh ibunya untuk pulang ke Pulau Pinang,” katanya._- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya