fbpx

Mayat mangsa hilang ditemui dengan kesan luka di leher

MAYAT mangsa, G. Sivaguru diusung anggota pasukan mencari dan penyelamat yang ditemui di Sungai Ketil, Baling hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Misteri kehilangan pengutip barangan lusuh sejak Selasa lalu terjawab selepas mayatnya ditemukan terapung di dalam Sungai Ketil, di Kuala Ketil hari ini.

Mayat G. Sivaguru, 32, ditemukan dalam keadaan terapung di Lubuk Segintah, Bukit Selambau di sini oleh orang awam yang turut menyertai gerakan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 10 pagi.

Jarak mangsa ditemukan lebih kurang dua kilometer daripada penemuan kesan darah dipercayai miliknya di atas Jambatan Kuala Ketil-Bukit Selambau di sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Syed Basri Syed Ali ketika ditemukan di lokasi penemuan mayat berkata, siasatan awal mendapati terdapat satu kesan luka di leher mangsa.

“Polis akan melakukan siasatan lanjut berkaitan kesan luka itu kerana berdasarkan pemerhatian ia bukan luka biasa.

“Sehubungan itu, polis perlu menunggu keputusan siasatan oleh unit forensik sebelum dapat mengklasifikasikan kes secara tepat,” katanya.

Sivaguru sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Orkid, Kuala Ketil pada pukul 10 malam, Selasa lalu untuk mencari barangan terpakai. 

Bagaimanapun lori miliknya ditemukan berdekatan tempat pembuangan sampah berhadapan sebuah stesen minyak di pekan Kuala Ketil dengan beberapa kesan tompokan darah.

Kenderaan itu ditemukan pekerja pembersihan yang melakukan tugasan rutin di kawasan berkenaan pada pukul 8.30 pagi Rabu lalu sebelum satu laporan polis dibuat.

Siasatan lanjut polis kemudiannya turut menemui kesan darah di atas Jambatan Kuala Ketil-Bukit Selambau dan SAR mula dilancarkan oleh polis, JBPM dan APM di sekitar kawasan itu.

Mayat mangsa kemudian dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. -UTUSAN ONLINE