Maritim Malaysia usir bot nelayan Vietnam - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia usir bot nelayan Vietnam

T
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengusir sebuah bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan kira-kira 94.6 batu nautika dari daerah ini, kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot nelayan itu dikesan pesawat udara Bombardier CL415MP Maritim Malaysia ketika melakukan rutin pengawasan udara di perairan negeri ini.

“Maklumat pencerobohan disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Langkawi yang melaksanakan Op Kuda Laut di sekitar perairan Terengganu.

“Pemeriksaan mendapati bot itu membawa 15 kru termasuk tekong berserta peralatan menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, bot nelayan Vietnam itu kemudian diusir keluar sehingga ke sempadan perairan negara di samping pukat milik mereka dirampas manakala bekalan air dan makanan dibuang.

Katanya, tindakan tersebut bagi memastikan nelayan terbabit tiada pilihan berada di laut untuk melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara dan pulang ke negara mereka.

“Sepanjang Op Kuda Laut Siri 2/2020 bermula 1 September lalu, sebanyak 25 bot nelayan asing diusir membabitkan seramai 259 kru termasuk tekong.

“Maritim Malaysia Terengganu akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun berdepan cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun terutama monsun timur laut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya