Komital: Maria Chin diperintah tunjuk sebab - Utusan Malaysia

Komital: Maria Chin diperintah tunjuk sebab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah diperintahkan mengemukakan tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Syariah dalam kes membabitkan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dipengerusikan Mohd. Amran Mat Zain dan bersidang bersama-sama Othman Ibrahim dan Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Maria untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya.

“Mahkamah turut memerintahkan Maria Chin selaku perayu untuk membayar kos sebanyak RM6,000,”kata peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal selaku responden ketika memberitahu pemberita di sini hari ini.

Pada prosiding hari ini, selain Akberdin, SM Faisal yang hadir turut diwakili peguam-peguam syarienya, Datuk Sulaiman Abdullah dan Rafie Mohd. Shafie manakala Maria yang turut hadir di mahkamah diwakili peguam-peguam bela, Nurul Hafidzah Hassan dan Mohd. Hafizal Parcho.

Pada 9 September tahun lalu, SM Faisal mengemukakan permohonan komital (menghina mahkamah) terhadap Maria dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Oktober tahun sama.

SM Faisal mengemukakan permohonan itu selepas wanita itu mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka.

Emilia kemudian dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Kenyataan Maria yang menyatakan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia telah disiarkan di sebuah portal pada tahun sama.

Pasangan berkenaan bercerai pada 2016 dan hak penjagaan penuh terhadap tiga anak mereka, Fawwaz, Faiz dan Farhan diberikan sepenuhnya pada Emilia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya