Jakim sedia kerjasama isu daging seludup logo halal palsu - Utusan Malaysia

Jakim sedia kerjasama isu daging seludup logo halal palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap komited untuk memberikan kerjasama kepada semua agensi berhubung isu logo halal palsu pada daging seludup.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, orang ramai turut diseru agar terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu penyalahgunaan logo halal.

“Segala produk daging diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh pihak Jakim sendiri,” katanya menerusi kenyataannya di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa, pengimport perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan dari pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan permit import sebelum dibenarkan masuk.

Dokumen permit itu hanya dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk membolehkan daging tersebut dijual di pasaran seluruh Malaysia.

Meskipun tidak mengulas mana-mana kes, kenyataan Abdul Aziz itu jelas merujuk serbuan Maqis ke atas sebuah syarikat yang menyeludup daging sejuk beku ke negara ini Rabu lalu.

Ia dipercayai sudah lama membungkus semula daging itu dengan logo halal palsu di sebuah gudang di Taman Perindustrian Senai, Johor dan membabitkan taktik kartel yang terancang.

Berdasarkan siasatan awal pihak Maqis, produk daging sejuk beku yang dibawa masuk secara haram itu datang dari beberapa negara termasuk Argentina, Brazil, China dan Ukraine.

“Kerajaan Malaysia telah lama menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir atau loji pemprosesan yang diluluskan,” jelas Abdul Aziz.

Fasiliti berkenaan ujar beliau, malahan perlu mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jakim demi menjamin tahap kualiti halal daging itu.

Jakim katanya, turut menzahirkan penghargaan kepada agensi yang melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras sindiket penyeludupan sekali gus membongkar sijil halal palsu.

“Antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor,” tambah Abdul Aziz lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya