JAKIM perlu dirombak - Utusan Malaysia

JAKIM perlu dirombak

Tun Mohammed Hanif Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) wajar dirombak dan segera melepaskan tanggungjawabnya dalam urusan mengendalikan pensijilan halal selain menyerahkan sepenuhnya peranan itu kepada Majlis Halal Malaysia (MHM). 

Itu penegasan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohammed Hanif Omar berhubung masalah kartel daging import yang diragui status halalnya serta budaya rasuah yang semakin berleluasa di negara ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya majlis halal yang dibekukan fungsinya oleh Pakatan Harapan (PH) semasa mentadbir sebelum ini untuk memainkan peranan dalam hal-hal berkaitan industri ternakan yang selama ini dikelolakan secara bersendirian oleh JAKIM. 

Antara lain, Mohamed Hanif mencadangkan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang akan dianggotai oleh Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam, pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“MHM harus ambil alih Skim Pensijilan Halal dengan JAKIM. Saya percaya ini usaha yang dapat membantu dalam menyelesaikan isu yang dihadapi sekarang ini. Apabila isu kartel haram ini terbongkar ada dua perkara yang berlaku iaitu kegiatan kartel haram dan import daging tidak halal.

“Kemelut ini mendedahkan perkara utama iaitu gejala rasuah semakin menjadi-jadi, keberkesanan sistem penyampaian haram dan kegagalan pembangunan industri makanan negara,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Akhbar baru-baru ini melaporkan terdapat kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging seperti kanggaru dan kuda yang tidak berstatus halal untuk dijual sebagai daging halal.

Pegawai dalam agensi kerajaan itu didakwa menerima pelbagai jenis habuan termasuk wang dan khidmat bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya dengan melakukan rombakan secara bersepadu terhadap JAKIM dapat meredakan keresahan rakyat selain memastikan industri ternakan di negara ini terjaga.

Ini juga menuntut kepada perlunya pihak berwajib tampil dengan inisiatif untuk melantik individu-individu berintegriti, kompeten dan berkebolehan agar masalah kartel daging import tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

“Saya berpendirian isu berkenaan menjadi petunjuk kegagalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam menjalankan tanggungjawab membangunkan industri ternakan sehingga negara terpaksa bergantung dengan daging import.

“Pesalah rasuah perlu dihukum berat. Selain penjara dan denda tertakluk kepada betapa beratnya kes disabitkan mereka perlu dihukum berat dan jika kesalahan cukup berat lucut kewarganegaraan dan dinyahkan dari negara,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya