Imej Pejabat Mufti WP bertaraf dunia menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Imej Pejabat Mufti WP bertaraf dunia menjelang 2025

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) beramah mesra bersama penerima selepas menyampaikan surat pelantikan kepada Pegawai Hal Ehwal Islam pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Kepada 52 Orang Pegawai Penyelidik Baharu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penambahan lebih 50 pegawai penyelidik baharu di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diharap bakal lonjak imej agensi itu kepada taraf global menjelang tahun 2025.

Perkara itu disuarakan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah sambil menyeru petugas terbabit menganggap jawatan diamanahkan kepada mereka sebagai tanggungjawab.

Beliau malahan menambah, sasaran tersebut turut disuarakan penyandang sebelumnya, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sendiri sebelum menyerahkan jawatan itu pada 15 Mei lalu.

“Usaha ini boleh dicapai menerusi penambahbaikan laman sesawang rasmi Pejabat Mufti yang kandungannya bakal terdiri daripada bahasa Melayu, Inggeris dan Arab,” tambah beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat kepada 50 pegawai penyelidik baharu lantikan kontrak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Ia dirasmikan Zulkifli selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta pelaksana tugas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, institusi mufti ketika ini menghadapi cabaran besar dalam memberi pencerahan pelbagai isu semasa dihadapi oleh umat Islam dengan hujah yang tepat.

“Contoh terbaik ialah Mesir, Jordan dan Maghribi apabila portal rasmi pejabat muftinya jadi rujukan ilmiah seluruh dunia termasuk bukan Islam untuk memahami ajaran Islam,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pegawai terbabit menguasai fatwa yang telah diwartakan pejabat itu sebelum ini dan agensi mufti di negeri lain agar lebih mahir dalam buat perbandingan hujah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merupakan agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan sebelum 1998, diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Ia ditubuhkan pada 1971 susulan pemisahan Kuala Lumpur daripada Selangor sebagai Wilayah Persekutuan dan sudah lapan orang dilantik sebagai mufti oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Luqman mengumumkan kerajaan bersetuju pembinaan Balai Cerap Labuan seluas 73 hektar yang dirancang enam tahun lalu setelah diluluskan Perbadanan Labuan.

Ia membolehkan pencerapan anak bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah oleh pejabat mufti yang sebelum itu terpaksa dilakukan di Menara Universiti Malaysia Sabah di Sungai Pagar.

Wilayah Persekutuan belum ada lagi balai cerap khusus untuk tujuan syarak kerana selama ini hanya dicerap di Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya