PENDANG: “Semoga dipermudahkan perjalanan kami sekeluarga balik Kedah, Amin.”
Itulah status yang dimuat naik oleh ibu mentua kepada pemain skuad Kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 163.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.
Menurut Zaiton Mat Rashid, 48, ibu saudaranya, Allahyarham Zainab Ahmad, 45, dipercayai memuat naik status itu sebelum bertolak pulang ke Pendang dari Johor Bahru kira-kira pukul 10.40 malam, Sabtu lalu.
“Saya memang tidak sabar untuk menunggu kepulangan mak su (Zainab) bersama cucu lelaki terbaharunya, tetapi mereka pulang sebagai jenazah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pusing di sini semalam.
Selain itu, menurut Zaiton, Muhammad Syafiq ada menceritakan kepada ahli keluarga di sini semalam arwah ada bergurau dengan cucu sulungnya, Aaira Nur Safiyya, 2, sebelum bertolak ke Pendang.
“Arwah melawak dengan berpesan supaya Aaira duduk baik-baik dengan ibu dan abah sebab baby (Muhammd Aisy Saqeef) nak ikut mak tok.
“Kemudian pembantu rumah yang turut meninggal dalam kejadian itu menyampuk yang dia pun mahu ikut mak tok,” katanya.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 pagi itu, tiga dilaporkan terbunuh iaitu bayi lelaki Muhammad Syafiq yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef; ibu mentuanya, Zainab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Muhammad Syafiq, 25, yang juga penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) dan anak perempuannya, Aaira Nur Safiyya berusia dua tahun hanya cedera ringan.
Sementara itu, Isteri Muhammad Syafiq, Nur Amalina Norain kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di bahagian perut di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Nur Amalina sebelum itu dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) ke HSJ di sini selepas mengadu sakit di bahagian perut dan belakang anggota badannya akibat kemalangan berkenaan.
Bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim, 56, berkata, hajat untuk memindahkan Nur Amalina dan Aaira Nur Saffiyya mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital swasta ditangguhkan buat masa ini susulan pembedahan berkenaan.
“Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan kami sedang menunggu keputusan pakar-pakar lain berhubung keadaan kesihatan Nur Amalina, ” katanya.
Mengenai keadaan terkini Muhammad Syafiq, Ahmad memberitahu, anaknya itu kini mula berkomunikasi seperti biasa selepas kelihatan agak murung dan tidak bermaya sejak semalam. – UTUSAN










