Harga cili padi paling tinggi dalam tempoh 30 tahun - Utusan Malaysia

Harga cili padi paling tinggi dalam tempoh 30 tahun

MOHD. ALWI Deraman menunjukkan cili padi merah yang dijual pada harga RM26 sekilogram di Pasar Payang Kuala Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Harga pasaran bagi cili padi merah kira-kira dua minggu lalu disifatkan yang tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Seorang peniaga di Pasar Payang 2, Mohd. Alwi Deraman, 48, berkata, ini merupakan kali pertama harga barangan itu melambung mencecah RM210 untuk sebakul sepanjang tiga dekad dia mengusahakan perniagaan sayur-sayuran.

“Namun semalam harga sebakul cili padi merah dari Thailand yang seberat tujuh kilogram turun kepada RM175 dan hari ini menjadi RM165.

“Sejak dua minggu lepas harga cili sentiasa turun naik, bahkan berubah-ubah setiap hari dan saya menjangkakan keadaan akan berlanjutan sehingga musim tengkujuh pulih kerana bekalan amat terhad,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Payang di sini semalam.

Mohd. Alwi berkata, ramai pelanggan merungut dengan kenaikan mendadak harga cili tetapi sebagai peniaga dia tiada pilihan dan sedaya-upaya cuba meminimumkan keuntungan bagi menampung kos modal.

“Saya memang menanggung kerugian kerana harga cili yang tidak menentu dan walaupun bekalan dibeli pada harga mahal tetapi esoknya terpaksa dijual dengan mengikut harga pasaran.

“Kebanyakan cili yang dijual dari Thailand kerana lebih murah berbanding tempatan dan mendapat permintaan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN