Cubaan merasuah polis gagal - Utusan Malaysia

Cubaan merasuah polis gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Tindakan wanita warga Vietnam cuba merasuah polis sebanyak RM29,600 bagi melepaskan dua individu ditahan membawa arak seludup memakan diri apabila dia turut diberkas sama semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian itu berlaku setelah polis menahan dua kereta di Jalan Padi Malinja 5, Taman Senai Baru, Senai dalam satu operasi pada pukul 7.40 pagi.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 21 dan 26 tahun ditahan sepasukan polis dari Quick Reaction Force (QRF) Kompeni A Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah.

“Pemeriksaan ke atas kereta Perodua Alza dan Nissan Almera yang ditahan menemukan pelbagai jenis arak tanpa cukai.

“Ketika proses tangkapan, hadir seorang wanita Vietnam berusia 25 yang merupakan majikan kepada kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia.

“Wanita itu kemudiannya menawarkan RM29,600 supaya melepaskan dua suspek dan tiada tindakan diambil. Suspek diberikan amaran tetapi masih cuba merasuah polis sebelum ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, polis turut merampas sebuah beg plastik hitam mengandungi wang tunai RM29,600 yang dibalut dengan plastik lutsinar berwarna merah.

Katanya, hasil soal siasat ke atas semua suspek, pihak polis melakukan serbuan di rumah di Taman Senai Baru dan Taman Impian Emas, Skudai di sini.

“Di rumah tersebut, polis menemukan pelbagai rokok dan minuman keras iaitu 1,696 karton berisi 339,200 rokok putih, 142 karton arak tidak bercukai dan sebuah lagi kereta Nissan Almera.

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak memberi suapan kepada penguat kuasa undang-undang khasnya pihak polis dan tidak menjadi orang perantaraan atau mengambil kesempatan menggunakan nama saya untuk melindungi aktiviti mereka daripada diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Suspek yang cuba merasuah pihak polis dan wang rampasan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.