Cecair vape bernikotin tidak dicukai, barang larangan

Cecair vape bernikotin tidak dicukai, barang larangan

NOOR AZMI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cecair rokok elektronik atau vape yang mengandungi nikotin tidak boleh dikenakan cukai berikutan semua produk bernikotin adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984).

Menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, di bawah Akta Racun 1952, nikotin dikategorikan sebagai Racun Kumpulan C, yang mana penjualannya hanya dibenarkan kepada ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan sahaja.

Beliau berkata, oleh itu, penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin adalah salah di sisi undang-undang dan ia merupakan barangan larangan.

“Dakwaan bahawa pegawai Kementerian Kesihatan lambat dalam menentukan kandungan peratusan nikotin yang dibenarkan dalam cecair vape juga adalah tidak benar kerana tiada had selamat bagi nikotin atau sebatian lain di dalam cecair vape yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“Malah, terdapat kajian saintifik yang menunjukkan penggunaan vape akan memudaratkan kesihatan disebabkan kandungan nikotin tulen serta bahan-bahan lain,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Negara.

Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menjelaskan perkara itu untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan Senator Muhamad Zahid Md. Arip ketika perbahasan berlangsung.

Belanjawan 2021 menyatakan kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milimeter.

Terbaharu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan pelaksanaan duti eksais terhadap barangan peranti rokok elektronik, bukan elektronik, cecair atau gel rokok elektronik dan cecair atau gel vape yang tidak bernikotin bermula awal tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, duti eksais akan dikenakan ketika pengimportan dan pelepasan daripada pengilang tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya