10 tempat menarik di Pendang

10 tempat menarik di Pendang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDAH tak ada apa? Barangkali itu suara sumbang mereka yang tidak pernah menjejaki apatah lagi membuka helaian sejarah dan khazanah di bumi jelapang padi negara ini.

Kedah yang merangkumi 12 daerah ini bak permata tersorok, setiap satunya sarat dengan cerita, latar, rupa dan rasa yang berbeza.

Benar, Kedah mungkin tidak dihiasai pencakar langit dan gedung beli-belah mewah, namun jika dahagakan sejarah, damai alam sekitar dan sentuhan kerohanian yang tulus, inilah tempatnya.

Contohnya, di Pendang, daerah yang menyimpan rapi tinggalan sejarah dengan aura damai yang dirangkul mesra kehijauan alam. Paling menyentuh hati, ramahnya penduduk di sini yang mampu membuat anda jatuh cinta.

 

1. TAMAN TASIK PENDANG
Terletak di jantung pekan Pendang, tasik ini adalah lokasi orang ramai berjoging, bersantai, berkelah malah memancing di sebelah petang.
Selain trek sepanjang 2.4 kilometer, terdapat juga deretan gerai makanan di sekeliling taman ini.

2. PENDANG WATERFRONT
Berlatarbelakangkan Tasik Pendang, tempat ini sesuai dijadikan liburan ibu bapa membawa anak-anak kecil untuk mandi-manda.
Bayaran dikenakan hanya RM3 untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun selain terdapat pelampung untuk disewa.

3. BAZAR MELAYU@KEMBOJA
Lebih sedekad mekar, Bazar Melayu@Kemboja laksana madrasah ekonomi penduduk setempat. Asalnya dikuasai peniaga Kemboja, namun hari ini majoritinya adalah peniaga Melayu.
Dibuka dari pukul 7 pagi hingga 1 petang pada setiap Jumaat, bazar ini adalah syurga pakaian murah termasuk telekung, baju kurung, tudung dan fesyen terkini.
Tidak ketinggalan kain batik dan pelikat. Turut terjual pelbagai jenis makanan tradisi tempatan.

 

4. PERKAMPUNGAN MELAYU SERI BANIAN
Terletak 40 minit dari bandar Alor Setar ke Kampung Bendang, Kubur Panjang.
Kunjungan ke sini membawa anda kembali ke zaman silam dengan suasana perkampungan kecil yang tersembunyi di sebalik pokok-pokok getah.
Persekitarannya penuh kehijauan dengan dilengkapi empat rumah adat yang menyimpan makna tersendiri. Lebih menarik, pengunjung berpeluang menikmati aneka menu tradisional Melayu dan Jawa yang enak.

5. TAMAN EKO RIMBA SUNGAI RAMBAI, BUKIT PERAK
Turut dikenali sebagai Air Terjun Bukit Perak. Dengan kejernihan airnya, boleh dikatakan destinasi ini masih belum tercemar.

 

6. MASJID JAMEK AL-LUFTI ATAU MASJID KARIAH BATU HAMPIR
Antara masjid tertua dan masih kukuh di Kedah. Terkenal dengan seni bina Asia Barat yang unik dan berseni.

7. TELAGA GAJAH
Dahulu, Pendang dikatakan menjadi pusat pembiakan gajah terbesar di negeri ini. Malah nama Pendang dipercayai berasal dari perkataan ‘pendiat’ yang bermaksud parit atau lubang untuk menangkap gajah.
Jadi bukan sesuatu menghairankan jika di Pendang terdapat Telaga Gajah. Telaga ini pernah menjadi lokasi gajah-gajah dimandikan.

 

8. OH! GULA
Di Jalan Tokai, tersembunyi sebuah kafe, Oh! Gula milik pelakon, Mimi Ernida yang merupakan anak jati Pendang.Dibuka sejak tahun lalu, kafe ini menyediakan minuman dan pastri seperti croffle. Tidak ketinggalan laksa yang menjadi buruan ramai.

 

9. RESTORAN D’ATAP
Kalau ingin menikmati makan tengah hari yang berbeza, Restoran D’Atap ini barangkali jawapannya. Nasinya ditanak dalam buluh mengikut cara Orang Asli di Kedah.
Malah, lauk-pauknya seperti ayam, lembu dan rusa turut dimasak dengan cara sama.

 

10. KAK MAH MIHUN SUP VIRAL
Mihun sup dipenuhi daging yang tular di media sosial ini dimasak oleh suami isteri, Salleh Nayan, 70, dan Che Mah Abdullah, 69.
Setiap hari, mereka memasak 40 kilogram daging dan jumlahnya berganda pada musim cuti serta perayaan.
Pelbagai jenis mihun sup termasuk dengan urat keting dan perut menanti pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN