Banjir: 56 penduduk Kijal berpindah - Utusan Malaysia

Banjir: 56 penduduk Kijal berpindah

HUJAN lebat sejak malam semalam menyebabkan beberapa kediaman di Ladang Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu di Kijal, Kemaman ditenggelami air
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seramai 56 penduduk di Ladang Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu di Kijal sini dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga satu meter, hari ini.

Penolong Kanan Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan), Mohamad Hafiz Che Awang berkata, setakat pukul 5.30 petang ini, seramai sembilan mangsa ditempatkan di PPS Masjid Kampung Sungai Mas manakala 47 lagi di balairaya Kampung Padang Kubu.

Katanya, lebih ramai mangsa dijangka dipindahkan ke PPS tersebut berikutan paras air Sungai Tebak yang melimpah.

“Cuaca masih hujan renyai-renyai dan penduduk di beberapa kawasan rendah termasuk Kampung Teladas yang berisiko banjir kini bersiap-sedia untuk berpindah,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, tinjauan di Ladang Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu mendapati penduduk mula memindahkan barangan mereka termasuk perabot ke tempat lebih tinggi.

Seorang penduduk kuarters Ladang Sungai Mas, Mohd. Nizam Mokhtar, 40, berkata, banjir berlaku ketika dia keluar membeli makanan dan tidak sempat menyelamatkan barangan di rumah.

Katanya, kejadian itu sama sekali tidak diduga kerana air naik dengan sangat cepat.

“Saya keluar kira-kira sejam dan apabila pulang, air sudah memenuhi laluan masuk ke rumah tanpa sempat menyelamatkan apa-apa termasuk peti sejuk, mesin basuh dan sebuah motosikal.

“Kawasan kediaman saya rendah dan jauh dari jalan besar jadi saya tidak berani pulang ke rumah buat masa ini,” katanya.

Bagi Siti Mariam Awang, 67, dia terpaksa meminta pertolongan jiran untuk mengangkat mesin basuh dan peti sejuk selepas kediamannya di Kampung Padang Kubu dinaiki air sejak pukul 4 petang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya