Amah geram tolak meja hingga anak majikan cedera didenda RM5,000 - Utusan Malaysia

Amah geram tolak meja hingga anak majikan cedera didenda RM5,000

MERIYANA (tengah) diiringi polis ketika di bawa ke Mahkamah Klang, Selangor hari ini atas dakwaan mencederakan anak majikannya di sebuah rumah di Taman Mewah 3 Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Padah menimpa seorang amah apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya setelah  didapati bersalah mencederakan anak majikannya pada 3 Disember lalu.

Tertuduh, Meriyana Meko, 23, berasal dari Indonesia dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Razali Ariffin.

Hakim Razali turut memerintahkan tertuduh dijatuhkan hukuman tambahan iaitu bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin warganegara Malaysia beserta wang jaminan RM5,000, namun jika gagal berbuat demikian dipenjara setahun dari tarikh hukuman.

Mengikut pertuduhan, Meriyana yang bekerja dengan majikannya sejak setahun lapan bulan itu didakwa telah mencederakan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal iaitu lebam di bahagian dahi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Mewah, Klang di sini pada 3 Disember lalu antara pukul 6 hingga 6.30 petang.

Meriyana didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah akta sama iaitu hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh ditambah hukuman menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh dan syarat yang ditetapkan mahkamah, selain melaksanakan khidmat masyarakat.

Timbalan Pendakwaan Raya,Nor Suhaili Abu Bakar memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan melibatkan kanak-kanak.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira semua fakta yang mana walaupun tertuduh mengatakan dia tidak sengaja. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tertuduh sengaja menendang meja yang ketika itu terdapat mangsa dia atasnya.

“Sebagai pembantu yang diberikan amanah, dia sepatutnya menjaga anak majikannya tetapi dia tidak melaksanakannya dengan baik sehingga menyebabkan kanak-kanak ini mengalami kecederaan di bahagian kepala yang menjadi organ penting,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kepadanya kerana perbuatan itu adalah kesalahannya yang pertama dan sebelum ini tiada sebarang masalah dengan majikannya.

“Saya tiada niat untuk menjatuhkan kanak-kanak ini sehingga menyebabkan dia cedera. Gaji saya juga hanya RM1,200 dan perlu menyara ibu di kampung,” katanya.

Terdahulu, mahkamah juga dipertontonkan dengan rakaman CCTV berdurasi empat minit 12 saat memaparkan bagaimana tertuduh yang sedang menyapu menendang meja sehingga mengakibatkan kanak-kanak terbabit terjatuh dan tersembam ke lantai.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan lebam di dahi kanan. -UTUSAN ONLINE

 

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.