Air tercemar: Lima termasuk pengusaha kolam ikan keli ditahan - Utusan Malaysia

Air tercemar: Lima termasuk pengusaha kolam ikan keli ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima termasuk seorang pengusaha kolam ikan keli ditahan susulan pencemaran sungai yang menyebabkan bekalan air di 1,274 kawasan di Selangor terjejas pada 7 Disember lalu.

Penahanan lelaki berusia 50 tahun itu bersama empat warga Indonesia berusia di antara 28 hingga 47 tahun yang juga pekerja kolam ikan keli terbabit dilakukan di Bukit Sentosa, dekat sini kira-kira puku 9.30 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan memberitahu, hasil siasatan mendapati, pencemaran yang berlaku pada 7 Disember lalu disyaki berpunca pelepasan air daripada kolam ikan keli yang diusahakan suspek tanpa lesen di Serendah sejak tiga tahun lalu.

“Perintah reman ke atas semua suspek tamat hari ini, tetapi polis tetap meneruskan siasatan berkenaan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Pada 7 Disember lalu, sebanyak 1,274 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air.

Dalam kejadian itu, loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran air sumber mentah dikesan di Sungai Selangor.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Pengerusi Bersama Hal Ehwal Selain Hal Islam (HESI) Selangor, Hee Loy Sian mengesahkan kawasan ternakan ikan keli dipercayai menjadi punca pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor menyebabkan LRA terbabit dihenti tugas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya