386 produk R&D berjaya dikomersial bernilai RM402 juta

386 produk R&D berjaya dikomersial bernilai RM402 juta

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 386 produk, teknologi dan perkhidmatan hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) berjaya dikomersialkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan nilai pendapatan dijana berjumlah RM402 juta.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu melepasi sasaran 360 produk yang ditetapkan kerajaan semasa Belanjawan 2016 untuk pengkomersilan menjelang tahun ini.

Menurut beliau, usaha berkenaan dijayakan komuniti penyelidik dan usahawan teknopreneur dari institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Justeru, katanya, kejayaan itu wajar diiktiraf menerusi Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2020) yang akan menjadi perangsang utama untuk mencipta lebih banyak kemajuan pada masa hadapan.

“Tahun ini merupakan tahun kelima pelaksanaan MCY sejak 2016 dan terakhir bagi fasa MCY 2.0, sebelum kita mengorak langkah ke fasa MCY 3.0 mulai tahun 2021 dengan penekanan beralih kepada inisiatif pengkomersialan R&D ke peringkat global.

“Pelaksanaan inisiatif MCY membantu meningkatkan visibiliti produk, teknologi dan perkhidmatan R&D tempatan bagi memasuki pasaran global sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran yang kompetitif,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak MCY 2020 secara maya di sini hari ini.

Khairy  berkata, pemenang utama Anugerah Pencapaian Pengkomersialan tahun lalu iaitu produk Plug And Play Grow Kit berjaya menawarkan satu penyelesaian pertanian moden bagi menyokong industri pertanian berskala besar dan menghasilkan tanaman berkualiti tinggi. 

Selain itu, katanya, produk Efinity EZ Water Filter yang merupakan pemenang utama Kategori Anugerah Usahawan Sosial tahun lalu berjaya memberi manfaat kepada komuniti luar bandar seperti Orang Asli, mangsa banjir dan kem pelarian dengan menghasilkan pam air yang tidak memerlukan elektrik bagi membolehkan air kotor ditapis untuk kegunaan seharian. 

Bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Khas MCY tahun ini, menurut beliau, sebanyak 43 daripada 122 produk, teknologi dan perkhidmatan daripada 56 agensi dinilai dalam dua siri Bengkel Due Diligence MCY.

“Bagi tahun ini, agihan pemberian hadiah kembali kepada 100 peratus secara tunai, berbanding 50 peratus tunai dan 50 peratus fasiliti bukan tunai seperti tahun sebelum ini sekali gus diharap dapat memberikan motivasi kepada para penyelidik serta usahawan meningkatkan daya saing hasil R&D di pasaran tempatan dan antarabangsa. 

“Saya percaya bahawa hasil pencapaian serta impak daripada pelaksanaan MCY dalam tempoh lima tahun lepas dan akan datang bakal memberi kesan positif terhadap kesan penggandaan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya