212 kes tipu jualan online - Utusan Malaysia

212 kes tipu jualan online

ADNAN Abd Rahman (dua dari kanan) menunjukkan ayam yang tersenarai dalam SHMMP di pasar raya Pantai Timur Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 212 kes penipuan daripada 829 aduan melibatkan perniagaan online diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan sepanjang tahun ini.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd. Rahman berkata, kebanyakan kes melibatkan perkara berkaitan penghantaran yang lewat, silap barangan dan tidak menerima barangan biarpun pembayaran telah dibuat.

“Hasil siasatan itu, kita menerima sebanyak 212 kes dikategorikan sebagai penipuan dan proses aduan dikendalikan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia KPDNHEP Kelantan.

“Selain barang tidak sampai ke tangan pengguna, jenis penipuan lain dikesan termasuklah saiz pakaian yang diterima tidak sama sebagaimana yang dikehendaki pengguna.

“Kita akan memanggil penjual dan pembeli untuk bersemuka berhubung kes itu bagi menyelesaikannya secara adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Walkabout Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 di pasaraya Pantai Timur Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Saidul  Adli Abu Bakar dan Pengurus Kawasan Kumpulan Pasar Raya Pantai Timur, Tan Hock Ben.

SHMPP bermula hari ini sehingga 31 Disember sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas yang pada 25  Disember ini.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 786 kes kesalahan berkaitan perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan direkodkan di negeri ini dengan nilai sitaan sebanyak RM3.4 juta

Katanya, sebanyak 502 kes dikompaun dengan jumlah keseluruhan kompaun mencecah RM266,600.

“Kes mahkamah pula sebanyak 22 kes dengan denda RM239,600. Sepanjang tahun ini juga sebanyak 52,977 premis di seluruh negeri diperiksa oleh KPDNHEP Kelantan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya