2,000 pengantin terima insentif RM200 - Utusan Malaysia

2,000 pengantin terima insentif RM200

SYED Ibrahim Syed Ahmad (kiri) menyampaikan insentif kepada pasangan pengantin, Badrolhisyam Rahmat dan Nur Ainun Hafizatul S. Baharin pada majlis Moh Kahwin: Jom Kahwin Beramai-ramai di Dewan Serbaguna Kampung Pandan 1, Kuantan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 2,000 pasangan yang kali pertama berkahwin menerima insentif RM200 seperti diumumkan kerajaan negeri awal tahun ini.

Permohonan boleh dilakukan pasangan yang layak melalui laman web Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan syarat utama pemohon memperoleh pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sehingga September lalu kerajaan negeri sudah menyalurkan kira-kira RM300,000 kepada pasangan yang layak.

“Insentif ini adalah antara usaha kerajaan negeri membantu meringankan bebanan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.

“Memandangkan pelaksanaan dan sambutan diterima menggalakkan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah menyatakan kesediaan meneruskan pemberian insentif ini pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Moh Kahwin: Program Kahwin Beramai-ramai di Dewan Serbaguna Kampung Pandan 1, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Syed Ibrahim menyampaikan insentif kepada enam pasangan pengantin yang terpilih menerima sumbangan secara sekali bayar daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, pasangan Badrolhisyam Rahmat berasal dari Sungai Tong, Terengganu dan Nur Ainun Hafizatul S. Baharin dari Kampung Kurnia di sini menganggap usaha kerajaan negeri itu membantu mereka melengkapkan impian untuk mendirikan rumah tangga tahun ini.

Badrolhisyam berkata, mereka tidak sangka terpilih untuk majlis Moh Kahwin memandangkan banyak persiapan dilakukan dalam masa singkat.

“Memang kami rancang nak kahwin hujung tahun, cuma ketika itu kami belum tetapkan tarikh. Apabila kami dapat tahu mengenai program (majlis) Moh Kahwin, kami cuba daftar dan terkejut apabila dimaklumkan penganjur bahawa saya dan isteri terpilih.

“Kelam kabut juga kerana isteri belum hadiri kursus kahwin, jadi dia daftar awal bulan ini untuk kursus kahwin secara dalam talian dan sehari selepas itu, terus siap sijil.

“Mungkin sudah rezeki kami dan saya sangat berterima kasih kepada semua pihak, termasuk kerajaan Pahang kerana mempermudahkan hasrat kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya