UMNO, Pas elak bertembung kerusi di Selangor - Utusan Malaysia

UMNO, Pas elak bertembung kerusi di Selangor

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Tiada pertembungan kerusi antara UMNO dan Pas di negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang.

Penegasan itu dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar selepas pihaknya mengadakan beberapa perbincangan strategik dengan Pas baru-baru ini.

Menurut beliau, sekiranya UMNO bertanding di sesebuah kawasan, Pas sama sekali tidak akan meletakkan calon, begitu juga sebaliknya.

“Kita juga telah berbincang berkaitan pengagihan kerusi yang mana telah selesai 95 peratus. Sekiranya UMNO bertanding di Parlimen, calon Pas pula akan diletakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi empat parlimen yang majoritinya Melayu iaitu di Lembah Jaya, Selat Kelang, Pandan Indah dan Serdang, kita juga telah memutuskan bahawa UMNO dan Pas akan bertanding masing-masing dua kerusi.

“Bagaimanapun, ini perbincangan yang telah diputuskan Muafakat Nasional (MN) di Selangor. Namun, semua keputusan terletak pada Pusat dan mereka yang akan menentukannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis bantuan membina semula rumah di Tanjong Karang di sini semalam.

Terdahulu, Noh yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memberikan bantuan sumbangan zakat perbadanan itu untuk membina semula dua buah kediaman yang rosak akibat ribut baru-baru ini..

Mengulas lanjut, Noh berkata, setakat ini UMNO dan Pas telah menentukan akan bertanding di 14 Parlimen dan 36 DUN.

“Setakat ini, kita hanya membincangkan dua perkara ini sahaja. Berhubung peletakan calon pula, ia adalah peringkat kedua yang akan dibincangkan kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN