KUALA LUMPUR: Walau apapun penjelasan yang diberi, Pakatan Harapan (PH) dilihat belum cukup bersedia untuk kembali sebagai parti pemerintah.
Itu hakikat yang perlu diterima penyokongnya setelah dengan jelas tiada kesepakatan antara PKR, DAP dan Amanah ketika mengusulkan undian secara belah bahagi pada Khamis lalu.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, jika PH bersungguh-sungguh ingin mengembalikan semula mandat rakyat yang kononnya dirampas Perikatan Nasional (PN), mengapa tidak dirangka belanjawan alternatif seperti sebelum memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?
“Di mana belanjawan alternatif Malaysia 2021 PH? Sebelum PRU-14, rakyat boleh nampak PH bersungguh-sungguh mahu memerintah. Setiap tahun PH kemukakan belanjawan alternatif bagi gariskan pemerintahannya.
“Tiba-tiba setelah kembali jadi pembangkang langsung tiada belanjawan alternatif 2021. Sebab itulah ramai yang amat sangsi dengan kesungguhan PH untuk jadi pemerintah. Tanpa sebarang perancangan ekonomi, apa boleh berlaku jika PH menjadi pemerintah semula?,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, PH telah membuat keputusan untuk melaksanakan undian secara belah bahagi pada bacaan kali ketiga Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 sekiranya perbahasan di peringkat jawatankuasa gagal memenuhi permintaan mereka.
Ia susulan kegagalan pembangkang untuk mendapatkan 15 sokongan bagi menjayakan undian secara belah bahagi.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengakui isyarat PH pada saat akhir menyokong Belanjawan 2021 mengelirukan ahli Parlimen Amanah sehingga mereka ‘terpinga-pinga’, sekali gus menyetujui undi belah bahagian.
PKR pula tampil menjelaskan pihaknya bukan pengkhianat kepada penyokong-penyokong parti, sebaliknya bertindak menyokong kerana ia dilihat berjaya membentangkan elemen yang dikehendaki pembangkang. – UTUSAN










