JOHOR BAHRU : Suami terlantar sakit kerana menghidap kanser hati tahap empat manakala isterinya pula terkandas di Singapura sejak Mac lalu kerana penutupan pintu sempadan ekoran pandemik Covid-19.
Demikian situasi dialami Hamid Salleh, 63, apabila dia kini menanggung kesakitan seorang diri tanpa perhatian isteri, Meharan Mohd. Atan, 61, dan empat anak lain yang tidak dapat pulang menjaga suami dan bapa mereka disebabkan kekangan tersebut.
Buat masa kini, dia dijaga buat sementara oleh rakan baik, Mohd. Yusof Othman, 54, bersama isterinya, Siti Hazar Abd. Jabar, 53.
Menurut Siti Hazar, penyakit Hamid kian merosot sejak dua minggu lalu kerana penyakit kanser bertambah serius malah sering keluar masuk hospital kebelakangan ini.
“Sepanjang tempoh itu, saya dan suami yang menjaga dia pada setiap hari. Selain itu, seorang adik ipar Hamid berada di sini juga menjaganya pada setiap malam
“Kita faham isteri dan anak-anaknya tidak dapat balik kerana perlu melalui pelbagai proses malah perlu tanggung kos kuarantin sehingga RM5,000 jadi kami sahajalah jaga Hamid untuk sementara waktu,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumah sewa Hamid di Kampung Melayu Majidee di sni semalam.
Menurut Siti Hazar, meskipun berada di Singapura, namun isteri Hamid setiap menghubunginya secara panggilan video untuk mengetahui perkembangan terkini lelaki itu.
Katanya, hanya linangan air mata yang boleh mengubat kedukaan dan rindu setelah suami isteri itu terpisah lebih lapan bulan di samping penderitaan penyakit dialami Hamid.
“Walaupun Meharan tinggal jauh, tetapi dia setiap ambil berat keadaan suami malah juga memberikan wang perbelanjaan kepada kami untuk tampung kos makanan dan rawatan Hamid.
“Isteri mana tidak sayang suami, tetapi disebabkan masalah untuk masuk ke negara kerana dia merupakan warga Singapura, jadi adalah sukar pulang untuk menjaga suami.
“Kadang-kala Hamid sering sebut nama Maheran. Lagipun hendak buat macam mana, hanya panggilan video yang mampu merawat rindu,” katanya.
Sehubungan itu, Siti Hazar berharap mana-mana pihak termasuk Kerajaan Negeri Johor dapat melihat masalah dihadapi isteri Hamid dan anak-anaknya yang lain.
“Bagilah mereka agar dapat dibenarkan pulang untuk menjaga suami dan bapa, jika tidak sampai bila mereka tidak berbuat demikian walaupun untuk kali terakhir,” katanya. -UTUSAN ONLINE