KANGAR : Menyedari kekangan belajar dalam talian khususnya bagi mereka di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan jalur lebar, telefon bimbit atau komputer mendorong sesetengah sekolah melaksanakan pelbagai kaedah pembelajaran bagi memastikan murid mendapat pendidikan sebaik-baiknya.
Antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis, boleh dikatakan 80 peratus daripada keseluruhan 807 murid sekolah tersebut menghadapi kekangan dari segi akses internet termasuk tidak mempunyai kelengkapan untuk tujuan tersebut.
Justeru, pihak sekolah mengambil inisiatif pembelajaran secara lembaran kerja atau menyediakan modul secara pandu lalu dengan ibu bapa setiap hari akan mengambil bahan pembelajaran yang disediakan di pondok pengawal sekolah terbabit.
Guru Besar SK Kuala Perlis, Suzaide Mat Noh memberitahu, inisiatif tersebut mula dipraktikkan sejak Isnin lalu dan kaedah tersebut dilihat lebih berkesan untuk murid-murid khususnya di kawasan ini.
Katanya, setiap hari, pihak sekolah akan menyediakan bahan berbentuk nota dan latihan yang diletakkan di dalam kotak mengikut kelas di pondok keselamatan dan ibu bapa akan datang mengambilnya.
“Hari ini ambil, esok ibu bapa akan menghantar semula tugasan yang sudah siap itu untuk disemak oleh guru. Selepas itu, ibu bapa atau murid sendiri akan mengambil tugasan baharu disediakan.
“Kita melakukan analisis terlebih dahulu sebelum memutuskan melakukan kaedah tersebut. Hasilnya mendapati antara 70 dan 80 peratus anak-anak ini tidak ada akses internet dan peranti untuk tujuan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Suzaide, selain itu, guru-guru juga mengambil inisiatif merekodkan pembelajaran menggunakan kaedah layar hijau seterusnya di muat naik di media sosial sama ada melalui Facebook atau laman web sekolah tersebut.
Sementara itu, seorang guru, Ahmad Faiz Mohd. Fauzi pula berpandangan, pembelajaran melalui dalam talian mungkin tidak mempunyai masalah bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar memandangkan internet mudah diakses selain ramai dalam kalangan murid-murid mempunyai kemudahan telefon bimbit.
Katanya, antara cabaran utama apabila ada murid-murid tidak mempunyai akses internet yang baik di rumah dan kalau ada mungkin sangat terhad khususnya di kawasan-kawasan kampung.
Dalam pada itu, seorang bapa, Meor Azhar Abd Karim Ibrahim,41, pula berkata, kaedah pandu lalu mengambil modul pembelajaran itu lebih mudah daripada belajar secara dalam talian.
“Setiap hari saya akan datang ambil modul ini untuk anak saya di tahun satu dan enam. Kaedah ini lebih mudah memandang tidak semua keluarga ada akses internet yang baik khususnya di kampung-kampung,” katanya. – UTUSAN










