KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan barisan kepemimpinan parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam hanya berupa perbincangan biasa.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ia sebagai persediaan untuk mendepani hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini dengan berbincang berkenaan aturan-aturan mesyuarat.
“Biasalah sehari sebelum Parlimen bersidang, kita akan bincang aturan-aturan mesyuarat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan lobi Hotel Hilton di sini semalam.
Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu dilihat tiba di hotel berkenaan kira-kira 12.20 tengah hari.
Ia kemudian disusuli beberapa pemimpin lain antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran dan Ka Siong.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika disapa dan ditanya pemberita hanya sekadar tersenyum sebelum berlalu meninggalkan hotel.
Abdul Hadi juga memberi reaksi sama manakala Vigneswaran sekadar memaklumkan datang untuk makan.
Utusan Malaysia difahamkan pertemuan itu hanya berkisarkan kepada persidangan hari ini, selain memberi tumpuan kepada Belanjawan 2021 yang dijadual akan dibentangkan pada Jumaat. – UTUSAN










