PUTRAJAYA: Sekiranya anda peminat tegar air Milo, kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati harga purata secawan minuman itu di peringkat nasional ialah RM2.01.
Namun bukan semua peniaga menjualnya pada harga itu, malah Kelantan muncul sebagai negeri yang catat paling murah untuk minuman tersebut di negara ini dengan purata RM1.68.
Ini disusuli Pulau Pinang (RM1.82), Kedah (RM1.85), Johor (RM1.86), Perak (RM1.88), Negeri Sembilan (RM1.91), Pahang (RM1.91), Melaka (RM1.92) dan Terengganu (RM1.95).
Bagaimanapun, penyelidikan DOSM yang diterbitkan melalui Indeks Harga Pengguna pada Oktober lalu itu menunjukkan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan purata paling tinggi.
Harga untuk secawan Milo di pulau itu ialah RM2.45, diikuti Sarawak (RM2.39), Kuala Lumpur (RM2.33), Perlis (RM2.29), Putrajaya (RM2.28), Selangor (RM2.08) dan Sabah (RM2.03).
Produk terkenal dikeluarkan oleh syarikat makanan dan minuman terbesar di dunia, Nestle itu sebenarnya berasal dari Australia dicipta saintis kimia industri, Thomas Mayne pada 1934.
Namanya yang diambil bersempena legenda atlet gusti terkenal era Greek kuno abad keenam sebelum Masihi, Milo Croton, kini menjadi antara jenama minuman popular di seluruh dunia.
Dihasilkan daripada adunan gandum malt dan koko coklat bersusu bermutu, rakyat Malaysia dikenal pasti sebagai pengguna Milo paling tinggi di peringkat global sejak lebih sedekad lalu.
Malahan kilang Milo di Chembong, Rembau, Negeri Sembilan juga terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran 108,000 tan setahun dan produk itu turut dieksport ke 20 buah negara.
Fasiliti dilengkapi teknologi canggih yang dibuka pada 1993 di atas tanah berkeluasan 17.4 hektar dengan hampir 900 pekerja itu bagi menggantikan kilang lama di Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum itu, kilang pengeluaran Milo yang paling besar terletak di Bristol, England namun syarikat Nestle sebenarnya turut mempunyai lebih 24 buah kilang produk tersebut di seluruh dunia.-UTUSAN ONLINE