KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan pemberian insentif RM800 kepada 13,600 penjawat awam di negeri ini sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan golongan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran itu akan dibuat pada Januari tahun depan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2021 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.37 bilion bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 dengan pengurangan kira-kira 25 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, langkah pengurangan itu terpaksa dibuat susulan penyusutan anggaran hasil kepada RM1.25 bilion pada 2021 berbanding RM1.66 bilion tahun ini. – UTUSAN ONLINE










