Projek landskap Sungai Segget ubah landskap Johor Bahru - Utusan Malaysia

Projek landskap Sungai Segget ubah landskap Johor Bahru

Gambaran artis menunjukkan pembangunan Sungai Segget yang bakal merubah panorama bandar raya Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook yang dijangka siap pada suku ketiga tahun depan bakal merubah wajah pusat bandar raya ini secara keseluruhan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, transformasi itu melibatkan aktiviti rekreasi, kebudayaan dan komersial yang baharu.

Menurut beliau, pengindahan Sungai Segget terbahagi kepada tiga zon iaitu warisan dan sejarah, seni dan budaya serta santai dan ceria. 

“Apabila siap kelak, projek ini membuka peluang baharu kepada masyarakat sekitar untuk meningkatkan perniagaan mereka di mana persekitaran yang bersih dan menarik dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.

“Kawasan dinaik taraf ini menawarkan suasana persekitaran lebih sihat, ceria dan santai bagi penganjuran pelbagai aktiviti seni, budaya dan rekreasi.

“Selari dengan usaha memenuhi agenda sosial tempatan dan alam sekitar, projek ini telah menerapkan elemen fizikal yang digabung dengan arca seni dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook kini berada pada tahap 23 peratus siap.

Tambah Ismail, projek ini merupakan sebahagian daripada Projek Pemulihan Sungai Segget yang mana objektifnya adalah untuk meningkatkan kualiti air Sungai Segget bagi mengurangkan pencemaran di Selat Tebrau selain masalah banjir di pusat bandar raya.

Menurutnya, Projek Pemulihan Sungai Segget meliputi tiga fasa yang melibatkan projek pengindahan landskap merupakan fasa ketiga dan terakhir bagi keseluruhan projek ini. 

“Fasa pertama melibatkan kerja pembinaan Loji Rawatan Bersepadu Sungai Segget 2017. Fasa kedua membabitkan pembinaan Sistem Kumbahan dan Pencegahan Banjir pada tahun sama.

“Fasa Ketiga pula adalah Projek Pengindahan Landskap Sungai Segget dan Kerja Naik Taraf Jalan Wong Ah Fook yang sedang giat dilaksanakan,” ujarnya.

Tambah beliau, pengindahan landskap di Sungai Segget ini mampu memberi nilai tambah kepada rancangan transformasi dan rejuvenasi bandar raya Johor Bahru melibatkan projek seperti Wilayah Perniagaan Antarabangsa Ibrahim (IIBD) dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN