PKMM Pahang mohon 30 peratus projek konsesi - Utusan Malaysia

PKMM Pahang mohon 30 peratus projek konsesi

Abd. Gapar Lambak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang memohon kepada kerajaan supaya 30 peratus projek konsesi di negeri ini diserahkan kepada persatuan berkenaan.

Yang Dipertua PKMM Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, sebelum ini, projek konsesi yang diterima ahli persatuan itu tidak sampai pun 10 peratus.

“Jadi, kali ini kita mohon supaya 30 peratus projek konsesi diserahkan kepada PKMM Pahang untuk kita bantu ahli-ahli kita memiliki projek.

“Menerusi 30 peratus projek itu nanti, kita akan agih-agihkan kepada kira-kira 1,600 ahli yang bernaung di bawah PKMM Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd. Gapar berterima kasih kepada kerajaan kerana Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu menyediakan peruntukan yang besar untuk sektor pembinaan.

Menurutnya, PKMM berharap projek-projek mega akan dikecilkan untuk membuka lebih banyak peluang pada kontraktor yang bersaiz sederhana.

Beliau juga berharap keputusan kerajaan melanjutkan tempoh kelonggaran prosedur perolehan sehingga 31 Disember 2021 untuk mempercepat pelaksanaan projek pembangunan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 diselaraskan dengan baik.

“Keputusan itu bermaksud kerajaan akan melaksanakan proses pengundian atau kerja undi dalam pelaksanaan projek. Cuma kita harap ia diselaraskan supaya tidak ada pihak yang mendapat projek yang berlebihan.

“Perlu dihadkan bilangan projek pada sesebuah syarikat yang memperolehi projek secara undian walaupun dengan jabatan yang berlainan bagi membuka peluang pengiliran kepada kontraktor yang lain pula,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, PKMM turut menyambut baik peruntukan RM50 juta sebagai akses pembiayaan kepada kontraktor pembinaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE).

“Cuma kita harap pihak Mara supaya memudahkan permohonan dan melonggarkan syarat-syarat dan dokumen wajib yang diperlukan. Janganlah terlalu ketat seperti dilaksanakan pihak bank,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya