IPOH: Penganugerahan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup Selasa lalu merupakan pengikirafan semangat juang masyarakat Orang Asli dalam mempertahankan negara.
Pegawai Memerintah Batalion 3 PGA Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman berkata, mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan A/L Tari, 39, yang menerima PGB adalah contoh jelas semangat juang tinggi dan keberanian luar biasa yang dimiliki oleh perwira daripada masyarakat Orang Asli ini di dalam PGA.
“Ini merupakan penganugerahan yang pertama bagi Batalion 3 PGA Senoi Praaq yang sebelum ini dikenali sebagai Batalion 20 Pasukan Polis Hutan Senoi Praaq iaitu semasa era insurgensi.
“Selama ini jasa masyarakat Orang Asli dalam mempertahankan negara jarang didendangkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Penerima PGB dalam kalangan Orang Asli sebelum ini ialah Cif Inspektor Long Pandak yang menerima PGB pada Jun 1981 semasa bertempur dengan pengganas komunis di Ulu Kelantan; Koperal Ada Kulim (1998) dan Sarjan Mejar Apot Saad (2003) iaitu penjejak legenda Senoi Praaq sebelum menyertai 69 Komando.
Seorang lagi penerima PGB dalam pasukan Senoi Praaq pula ialah mendiang Inspektor Gunasegaran Naidu pada Jun 1981 yang terlibat mengetuai Platun Satu Senoi Praaq dalam Operasi Bamboo di sempadan Perak-Kelantan pada 9 Jun 1980.
Pingat PGB yang dizahirkan pada 29 Julai 1960 dan merupakan pangkat yang kedua antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa di mana penerimanya turut menerima elaun kenangan berjumlah RM1,500 sebulan.
Menurut Rosman, keberanian mereka juga akan melahirkan lebih ramai anak masyarakat Orang Asli yang sanggup ke hadapan demi menumpahkan jasa bakti dalam mempertahankan pertiwi.
Baharuddin juga merupakan salah seorang penerima Surat Penghargaan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-208 peringkat negeri Perak pada tahun 2015.
Penghargaan itu hasil kejayaan mendiang bersama dua rakan sepasukan menemui 45 pendatang asing warga Mynamnar termasuk kanak-kanak dan tekong semasa membuat rondaan di sempadan Malaysia-Thailand dekat Wang Klian, Perlis. – UTUSAN










