ARAU : Para pesawah berharap kerajaan dapat menyalurkan subsidi benih padi terus kepada mereka bagi mengelakkan masalah ketiadaan benih padi yang berlarutan saban tahun itu dapat diselesaikan.
Para pesawah sudah ‘bosan’ dan ‘penat’ disebabkan masalah tersebut kerana mereka terpaksa mengalami kerugian sehingga 50 peratus setiap musim.
Seorang pesawah dari Guar Sanji, Saifullah Abi Jamrah, 35, berkata, apabila subsidi benih itu diberikan kepada para pesawah sekali gus membolehkan mereka membuat pilihan sendiri dalam mendapatkan benih lebih berkualiti.
Sebelum ini katanya, mereka terpaksa mendapatkan benih padi di kilang-kilang yang kurang berkualiti selain masalah ketiadaan benih tersebut yang sekali gus menggangu proses tanaman para pesawah.
“Kami juga berharap Belanjawan 2021 akan memberi lebih tumpuan kepada nasib para petani yang turut terkesan berikutan Covid-19. Kami juga berharap subsidi seperti racun dan penyelengaraan tanah dapat ditingkatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Seorang lagi pesawah, Mohd. Syafik Abdul Hanan,28, pula berkata, kerajaan diminta menambah kuota racun dan baja kepada para pesawah mengikut keluasan tanaman.
“Subsidi racun dan baja perlu dipertingkatkan bagi menjamin hasil yang lebih berkualiti dan meringankan beban para pesawah,” kata pesawah dari Belat Batu itu.
Dalam pada itu, Fauzi Mustapa,37, berkata, para pesawah teruja menanti agar ada berita gembira untuk para pesawah menjelang pembentangan Belanjawan 2021 esok.
“Besar harapan kami agar nasib para pesawah dapat dibela memandangkan sebelum ini kami terjejas teruk akibat masalah bekalan benih padi,” katanya. – UTUSAN










