PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia membantu para peniaga jalanan terutama dalam isu kerenah birokrasi bagi permohonan mendapatkan lesen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, satu pekeliling akan diedar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan susulan.
“Ini termasuk peraturan dan garis panduan bagi membenarkan peniaga kecil dapat berniaga dalam tempoh tertentu di lokasi bersesuaian dengan kaedah lesen sementara,” katanya semalam.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai butiran pekeliling itu termasuk tarikh dilaksanakan dan syarat yang perlu dipatuhi oleh para penjaja terbabit.
Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur memohon kementerian agar mengeluarkan ketetapan sementara bagi membenarkan aktiviti penjaja.
Ia selaras saranan penganalisis ekonomi yang berpendapat kerajaan tidak boleh menghalang peniaga kecil di tepi jalan yang terkesan akibat tekanan hidup susulan isu wabak Covid-19.
Tindakan PBT bertegas menyita premis penjaja jalanan itu dibimbangi menambah kerisauan rakyat yang hilang kerja atau dipotong pendapatan oleh majikan sejak pandemik itu bermula.
Zuraida berkata, arahan pekeliling tersebut akan disemak dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang belum reda ketika ini. – UTUSAN










