Nasi Kukus Pramugari terima sambutan luar biasa - Utusan Malaysia

Nasi Kukus Pramugari terima sambutan luar biasa

NUR Shareen Mohd. Zaini Nur menjalankan perniagaan nasi kukus ayam berempah atau dikenali dengan Nasi Kukus Pramugari di Taman Lavender Heights, Senawang, Seremban.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas diberhentikan kerja daripada sebuah syarikat penerbangan pada Mac lalu, bekas ketua pramugari, Nur Shareen Mohd. Zaini, 41, tekad tidak mahu bersedih selepas terpaksa meninggalkan kerjaya yang diminatinya itu.

Lantas dia mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan nasi kukus ayam berempah bersama ibu dan adiknya di Taman Lavender Heights, Senawang dekat sini.

Keputusannya itu berbaloi, apabila perniagaannya mendapat sambutan malah gerainya yang mendapat jolokon ‘Nasi Kukus Pramugari’ juga semakin dikenali penduduk sekitar.

“Sejak diberhentikan kerja, saya berbincang dengan ibu kerana dia pandai memasak. Pada mulanya, saya menjual nasi ayam kunyit tetapi selepas itu kami buat keputusan untuk fokus kepada satu menu sahaja iaitu nasi kukus ayam berempah.

“Keunikan menu ini adalah saya menggunakan rempah gulai kerutub yang dibawa khas dari Kota Bharu, Kelantan dan sambal belacan yang mempunyai rasa manis dan pedas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Senawang dekat sini semalam.

Menurut Nur Shareen, dia sudah bersedia untuk menerima keputusan diberhentikan kerja kerana ada mendengar ura-ura syarikat tempatnya bekerja mahu memberhentikan mereka ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Bagaimanapun, pampasan yang diterima daripada syarikat tidak setimpal dan saya mula memikirkan perniagaan yang boleh diceburi. Saya memulakan langkah menggunakan modal sebanyak RM200 untuk berniaga dan pada hari pertama 50 bungkus habis terjual.

“Namun, sekiranya ada rezeki saya memang mahu kembali menyertai syarikat penerbangan kerana minat yang begitu mendalam,” katanya yang merupakan seorang ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun.

Nur Shareen berkata, dia mula menceburi dunia penerbangan sebagai pramugari bersama MAS pada 1997 hingga 2015 serta menyertai syarikat Malindo Air pada 2016 sehingga diberhentikan pada Mac lalu.

“Bapa saya sudah bersara, sebelum ini dia bertugas di bahagian pentadbiran MAS manakala adik lelaki saya merupakan juruterbang Malindo Air. Dia juga diberhentikan kerja pada Mac lalu, manakala, adik bongsu juga pernah bertugas sebagai pramugari sebelum ini.

“Kini, adik lelaki saya itu juga mengusahakan perniagaan nasi kukus berempah di Semenyih, selepas diberhentikan kerja,” katanya yang turut berharap dapat membuka sebuah kedai makan bersama keluarganya satu hari nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN