SEREMBAN: Ketua Unit Siasatan Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Nilai berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau bagi menggantikan Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar yang bertukar ke Bahagian Pengurusan Bencana, Maktab Polis Diraja Malaysia.
Penyerahan serah terima tugas itu berlangsung di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini dengan disaksikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.
Mohamad berkata, banyak kejayaan dicapai Mohd. Nor Marzukee sepanjang menerajui IPD Nilai selama dua tahun khususnya dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam di Nilai.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Mohd. Nor Marzukee selama perkhidmatan di kontinjen Negeri Sembilan.
“Saya juga berharap seluruh warga kerja IPD Nilai akan terus memberikan sokongan padu kepada Ketua Polis Daerah Nilai yang baharu dan isteri, Siti Rozaida Aripin selaku Pengerusi Perkep IPD Nilai,” katanya.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Nilai antara isteri Mohd. Nor Marzukee iaitu Sharliana Che Ani dengan Siti Rozaida, disaksikan Pengerusi Perkep Kontinjen Negeri Sembilan, Datin Norlela Idris. – UTUSAN ONLINE










