Miliki pedang tulisan Cina dua beradik - Utusan Malaysia

Miliki pedang tulisan Cina dua beradik

MOHD. Adzly Othman menunjukkan tiga pedang bertulisan Cina dan barangan antik lain yang diperoleh dari Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pengusaha barang terpakai di sini secara tidak se­ngaja memiliki tiga pedang bertulisan Cina berkemungkinan di­gunakan pendekar terdahulu dari negara tembok besar China.

Pengurus Pemasaran Bundle Singapore TSJ, Mohd. Adzly Othman, 38, berkata, tiga senjata antik itu termasuk pedang dua beradik yang berukir gambar naga di hulu dan hiasan baju jed.

“Semua pedang antik ini diperolehi daripada belian secara pukal dari pembekal Singapura.

TIGA pedang antik dipercayai digunakan pendekar terdahulu dari negara China yang disimpan di kedai jualan barang terpakai milik Mohd. Adzly Othman di Temerloh, Pahang.

“Ini kerana rakyat negara itu tidak memerlukan lagi beberapa barangan yang bersifat antik seperti senjata, pakaian, radio dan peti kayu buatan China,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Adzly berkata, bukan niat untuk menyimpan barang antik tetapi kerjayanya sebagai penjual barangan lupus dari Singapura menjadikan premis perniagaannya bagaikan galeri barang antik.

Jelasnya, kedainya menyimpan beberapa senjata tradisi, hiasan dan peralatan budaya China, Jawa, Arab, Jepun, Mela­yu dan keturunan Arab Singa­pura.

“Saya juga memiliki pelbagai senjata lama seperti keris dan tiga lagi senjata unik kemungkinan dari Jawa yang jarang diketahui orang kerana memiliki ketajaman di bahagian hujung dan hulu.

Taijitu, simbol tradisional yang mewakili kuasa yin (gelap) dan yang (cerah) jelas kelihatan pada bilah pedang antik.

“Ada barangan antik itu tidak dijual kerana didapati ada nilai sejarah dan sukar diperolehi kerana kemungkinan pemilik asal atau warisnya tidak sengaja melupuskan kepada pembekal barangan lusuh di negara itu,” katanya.

Jelasnya, kedainya menjual pelbagai barangan terpakai daripada pembekal Singapura yang dijamin masih elok dan berkua­liti kerana beliau sendiri memi­lih barangan yang diperlukan.

“Pelbagai barangan terpakai dibeli antaranya sofa, perabot pejabat, alat muzik, peti sejuk, basikal kanak-kanak, pakaian, perabot kayu jati, peralatan sukan, kerusi roda dan pelbagai lagi barangan keperluan harian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN