KUALA PILAH: Seekor lembu dikenali dengan nama ‘Merah’ terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku di ladang kelapa sawit di Kampung Air Putih, Dangi, dekat sini.
Pemilik lembu tersebut, Aso Wahid, 61, berkata, Merah merupakan salah satu daripada 39 ekor lembu kepunyaannya namun hanya Merah diikat pada sebatang pokok kerana kerap berkeliaran pada waktu malam.
“Hujan lebat sejak pukul 11 malam hingga 1 pagi. Sebanyak 37 ekor lembu saya yang lain sempat dibawa ke kawasan tinggi ketika hujan lebat itu manakala seekor lagi hilang.
“Saya dan anak datang ke ladang ini pada pukul 7 pagi tadi namun paras air masih tinggi dan kami terpaksa menunggu air surut. Bagaimanapun, Merah masih tidak boleh keluar kerana kawasan ini masih dinaiki air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, kira-kira 20 orang penduduk berkumpul dan cuba membantu membawa keluar Merah namun masih gagal.
“Anak saya masih cuba memujuk Merah namun belum mahu keluar dari kawasan berkenaan mungkin kerana melihat ramai penduduk yang datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE