Masuk hutan tebal cari madu tualang demi sara keluarga - Utusan Malaysia

Masuk hutan tebal cari madu tualang demi sara keluarga

Madu tualang menjadi sumber pendapatan untuk kaum Bateq di Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Bagi masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Aring 5, Pos Lebir, di sini sudah menjadi rutin mereka menjelajah hutan tebal bagi mencari hasil hutan untuk dijual.

Apabila Covid-19 mula mengancam negara, hasil hutan tersebut semakin sukar dijual, kecuali madu lebah tualang yang terus mendapat sambutan hangat tanpa mengira musim.

Bagaimanapun, bukan calang-calang orang dapat melakukan tugas mengambil hasil hutan itu kerana mereka perlu melawan rasa gayat ketika memanjat pokok tualang yang berketinggian sehingga 50 meter.

Seorang penduduk, Harun Chin, 46, berkata, walaupun terpaksa bergadai nyawa melakukan pekerjaan itu, dia kuatkan semangat demi mencari wang untuk kegunaan harian keluarga.

Katanya, dia melakukan pekerjaan itu untuk menyara keluarganya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Ada yang tidak sanggup memanjat pokok tualang yang tinggi itu kerana batang pokok yang licin dan terpaksa berdepan dengan lebah di dahan pokok.

“Saya bersyukur apabila tidak pernah pulang dengan sia-sia selepas memasuki hutan untuk mencari madu lebah di atas pokok tualang,” katanya.

“Harga madu lebah tualang mahal setimpal dengan usaha untuk mendapatkannya. Saya bersama empat rakan perlu berjalan kaki lebih dua jam untuk ke dalam kawasan hutan.

“Biasanya kami masuk hutan pukul 5 petang dan pulang ke rumah pukul 7 pagi keesokan hari,” katanya sambil menambah mereka pernah mendapat 15 kilogram madu dalam masa sehari.

Katanya, harga sekilogram madu itu ialah sekitar RM60 bagi botol 10 gram dan sejak kebelakangan ini, dia sering mendapat permintaan pelanggan dari Terengganu.

“Kerja mengambil madu dilakukan empat kali dalam sebulan dan perlu dilakukan ketika cuaca baik dan gelap.

“Bagaimanapun, selepas ini kami mungkin tidak dapat masuk hutan mencari madu kerana musim hujan sudah tiba,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN