fbpx

4 Disember 2020, 7:27 pm

  TERKINI

Lelaki khalwat, isteri sarat mengandung 

ANGGOTA Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim menyoal siasat seorang lelaki dan pasagannya yang ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Sungai Kob, Kulim hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki yang isterinya sarat mengandung ditangkap khalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang di rumah wanita berkenaan di Sungai Kok di sini, hari ini.

Lelaki berusia 29 tahun itu dicekup bersama wanita berkenaan yang berusia 37 tahun dalam satu operasi oleh Pejabat Agama Daerah Kulim  kira-kira pukul 4.40 pagi.

Malah, lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan pergi ke rumah wanita berkenaan ketika isterinya yang sarat mengandung pulang ke kampung untuk menanti kelahiran anak kedua.

Pegawai  Penguat Kuasa  Agama  Daerah  Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad  berkata, pasangan itu yang bekerja di sebuah kilang yang sama di sini ditahan dalam operasi tersebut hasil maklumat orang awam.

Katanya, operasi itu disertai tiga anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim dan ahli jawatankuasa masjid.

“Kita mengetuk pintu rumah sebelum seorang wanita membuka pintu dan hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki berada di ruang dapur di dalam rumah tersebut.

“Hanya pasangan itu sahaja yang berada di dalam rumah terbabit dan pada mulanya, mereka mengaku sudah berkahwin.

“Pasangan itu mendakwa mereka bernikah di Thailand tetapi gagal mengemukakan dokumen,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati wanita terbabit masih bersuami dan lelaki terbabit pula sudah berkahwin.

“Wanita terbabit kemudian mengaku dia masih mempunyai suami dan dalam proses penceraian.

“Wanita itu kini tinggal bersama dengan seorang anaknya di rumah itu, sementara seorang lagi anaknya tinggal bersama suaminya,” katanya.

Menurutnya, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sungai Kob untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri 2014.- UTUSAN ONLINE