Kedah guna khidmat YouTube luar negara promosi produk pelancongan  - Utusan Malaysia

Kedah guna khidmat YouTube luar negara promosi produk pelancongan 

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nihat melihat pemandangan bandar raya Alor Setar dari Star View. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Ainol Shahrina Sahar dan Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menggunakan khidmat pengguna YouTube dari luar negara untuk mempromosi produk-produk pelancongan yang menarik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, ketika ini, seramai lima pengguna YouTube dikenal pasti untuk menjayakan promosi tersebut.

“Kedah Tourism merancang satu program ‘Jom Mai Kedah’ melibatkan lima pengguna YouTube dari Jerman, Portugal, Kanada, Amerika Syarikat dan Filipina bagi mempromosikan makanan, budaya dan tempat-tempat menarik di negeri ini pada November ini.

“Program tersebut dijangka meraih sebanyak 120,000 tontonan bagi setiap ‘vlog’  (blog video) yang dimuat naik di laman YouTube mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Hanif bertanyakan mengenai program yang dilaksanakan bagi menarik pelancong ke Kedah selain penambahbaikan yang telah dilakukan di lokasi-lokasi menarik sedia ada di negeri ini.

Mohd. Firdaus menambah, sebanyak tujuh vlog akan diterbitkan oleh setiap peserta terbabit.

“Sebanyak 70 peratus penonton video itu nanti dijangkakan datang daripada pelancong domestik manakala bakinya merupakan pelancong antarabangsa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN