JKM wujud pusat pemindahan banjir patuh syariah - Utusan Malaysia

JKM wujud pusat pemindahan banjir patuh syariah

SITI Zailah Mohd. Yusoff (kanan) ketika meninjau Pasar Tani Rembau sebagai sebahagian daripada aktiviti turun padang sempena Program Kembara Prihatin Negara Peringkat JKM Negeri Sembilan di Rembau, Negeri Sembilan hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini dalam proses untuk mewujudkan pusat pemindahan banjir patuh syariah khusus bagi kebajikan umat Islam seperti ibu menyusu, ibu bersalin dan pesakit terlantar yang terlibat dalam bencana alam banjir.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, pelaksanaannya akan membabitkan penyediaan ruang solat yang khusus, pengasingan tempat tidur lelaki dan perempuan serta pengisian rohani dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, buat masa ini JKM telah menyediakan penghadang mudah alih dan keperluan ini dijangka mencukupi untuk digunakan di kesemua 5,422 pusat pemindahan banjir yang terdapat di seluruh negara.

“Ini memang permintaan saya secara khusus dan kita telah berbincang dengan pihak kementerian dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Jabatan Perdana Menteri supaya pelaksanaan patuh syariah ini dilaksanakan di pusat pemindahan banjir dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan juga sukarelawan bagi pengurusan yang lebih sistematik.

“Langkah ini diambil kerana bila kita turun padang, ada mangsa banjir yang tidak selesa untuk tukar baju dan kadang-kadang bila nak tidur ada yang memerhati. Jadi kita sediakan dinding penghadang atau terpulang mengikut suasana pusat pemindahan serta pihak pengurusan untuk menyediakan kemudahan patuh syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Kembara Prihatin Negara Peringkat JKM Negeri Sembilan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Rembau, di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Zailah berkata, beliau amat berpuas hati dengan persediaan yang telah dibuat JKM terutamanya dalam menghadapi fenomena Monsun Timur Laut.

Ia termasuklah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) amalan norma baharu seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memutuskan penularan Covid-19.

Menurutnya lagi, penyediaan makanan buat mangsa banjir yang sebelum ini dibuat secara ‘kawah’ iaitu dimasak beramai-ramai kini disesuaikan dengan keadaan semasa apabila makanan diberikan dalam bentuk bungkusan di setiap pusat pemindahan banjir yang dibuka.

“Peruntukan yang dikhaskan bagi tujuan bencana ini adalah sebanyak RM65 juta melalui penyediaan stok bekalan dan pengurusan pusat-pusat pemindahan sementara.

“Kita juga mempunyai lapan depoh simpanan keperluan bencana (DSKB) di mana antaranya terletak di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor, Johor termasuk Sabah dan Sarawak. Depoh ini berperanan sebagai pusat fasiliti untuk penyimpanan bantuan bencana iaitu barang-barang keperluan asas keperluan mangsa banjir,” katanya,

Tambahnya, JKM juga memiliki stor bencana di peringkat negeri dan daerah yang dipanggil mini depoh atau kontena di mana bagi kemudahan ini terdapat 162 buah di seluruh negara.

“Selain bersiap sedia daripada segi bekalan stok makanan dan pusat pengurusan banjir, JKM juga bersiap sedia daripada segi sumber manusia iaitu menggembleng 18,710 tenaga kerja termasuk pegawai JKM, kaunselor, dan sukarelawan JKM yang bersedia bertugas membantu mangsa banjir di pusat pemindahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya